Monday, February 8, 2010

Pencemaran Sungai

Alam sekitar merupakan kurniaan Tuhan yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya kerana kita akan mewariskannya kepada generasi yang akan datang. Justeru sewajarnyalah alam ini dipelihara dengan sebaik-baiknya darupada sebarang pencemaran. Namun, keadaan sekarang memperlihatkan bahawa manusia alpa dengan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia. Manusia lebih sibuk mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesan akibatnya kepada alam sekitar. Antara yang terjejas akibat perbuatan manusia ini ialah sungai. Justeru punca-punca yang menyebabkan pencemaran perlulah dikenalpasti dengan segera kerana kita tidak mahu menunggu sehingga sungai di negara kita sudah teruk tercemar, barulah kita hendak mengambil tindakan, seperti kata pepatah sudah terhantuk baru nak terngadah.

Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Sampah sarap dan sisa buangan domestik yang dibuang ke dalam sungai memberikan kesan yang buruk kepada sungai. Hal ini kerana, pembuangan sampah sarap ke dalam sungai akan menyebabkan sungai dipenuhi plastik-plastik sampah dan bahan-bahan terbuang yang terapung pada permukaan air. Selain itu, warna sungai akan bertukar daripada jernih kepada kehitam-hitaman. Sebagai contoh, di negara kita sendiri, jika kita lihat sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung, keadaan sungai adalah keruh dan sisa-sisa sampah boleh dilihat terampai di permukaan sungai. Kesannya, hidupan akuatik akan terjejas dan sumber air kepada manusia akan tercemar serta menyebabkab bau yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pembuangan sampah ke dalam sungai boleh menyumbang kepada pencemaran sungai.

Punca lain yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai ialah kegiatan pembalakan. Apabila pokok-pokok ditebang, tanah akan terdedah kepada hakisan ileh air hujan kerana pokok-pokok tidak lagi melindungi tanah daripada hakisan terus daripada air hujan. Tanah yang terhakis akan mengalir ke sungai dan sungai menjadi cetek kesan mendapan tanah tersebut. Selain itu, ranting-ranting pokok dan kayu-kayu yang dibuang ke dalam sungai juga akan menyebabkan sungai-sungai tersekat. Kesannya fenomena seperti banjir kilat boleh berlaku dan kualiti air untuk tujuan domestik akan menurun berikutan adanya mendapan yang banyak di dalam sungai. Oleh itu, kegiatan pembalakan dapat memberikan kesan buruk kepada sungai.

Kesimpulannya, punca-punca yang menyebabkan pencemaran sungai ini perlulah diteliti dengan lebih mendalam supaya usaha-usaha menangani masalah pencemaran ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Pihak kerajaan seharusnya menjalankan langkah yang lebih proaktif dengan mengadakan lebih banyak kempen kesedaran serta mengadakan pemantauan yang lebih kerap terhadap tahap kualiti air sungai di negara kita. Diharapkan, pencemaran sungai dapat diatasi dengan segera agar generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang kita wariskan kepada mereka tanpa sebarang masalah

No comments:

Post a Comment