Wednesday, September 2, 2009

Contoh Karangan FIKHA FIMBAK

Kejadian banjir kilat sering melanda negara ini setiap kali berlakunya hujan lebat. Masalah ini menyebabkan ramai penduduk yang kehilangan harta benda dan nyawa.
Huraikan punca-punca berlakunya banjir kilat di negara kita.

Perenggan Pendahuluan

Masalah banjir kilat bukan fenomena baru, bahkan kerap melanda banyak kawasan sejak akhir-akhir ini. Berita tentang kejadian banjir kilat sering menjadi tajuk utama atau dipaparkan pada muka depan sama ada di media massa atau media elektronik. Malahan sejak akhir-akhir ini kejadian banjir kilat sering menjadi perbualan hangat sama ada di meja persidangan, di parlimen atau diwarung-warung kopi. Bak kata pepatah “jika tiada angin masakan pokok bergoyang.” Sebagai contoh, akhbar Berita Harian telah memaparkan berita tentang Banjir Kilat yang melanda Kuala Lumpur sedalam 1.8 meter pada hari Ahad, 10 Jun 2007 , yang berlaku dari jam 6.00 petang hingga 8.00 malam , selama 2 jam akibat hujan lebat,. Sebagaimana yang kita ketahui, banjir kilat yang berlaku bukan sahaja merosakkan harta benda malahan akan melumpuhkan ekonomi sesebuah negara. Oleh hal yang demikian saya berpendapat bahawa segala punca yang menyebabkan banjir kilat perlu dihuraikan bagi mengambil langkah menanganinya secara drastik. 124 perkataan

Perenggan Isi

Projek pembangunan yang tidak terancang menjadi punca utama berlakunnya banjir kilat di negara kita. Hal ini kerana apabila sesuatu projek pembangunan akan dilaksanakan, sudah tentu berlaku penebangan hutan atau pokok-pokok. Kawasan yang telah diteroka akan menyebabkan hakisan tanah dan hal ini memudahkan berlakunya banjir kilat yang membawa bersamanya kandungan lumpur dari kawasan penebangan tadi. Sebagai contoh, Bandaraya Kuala Lumpur sering dilanda banjir kilat akibat pembangunan yang begitu pesat dan tidak terancang. Pembangunan yang pesat akan menyebabkan banjir kilat dan seterusnya menimbulkan banyak masalah sama kepada masyarakat dan negara. Oleh itu jelaslah bahawa pembangunan yang tidak terancang menjadi penyumbang utama kepada berlakunya banjir kilat di negara kita.
102 patah perkataan

Perenggan Penutup

Konklusinya, banjir kilat sering berlaku berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Adalah diharapkan agar masyarakat bekerjasama dan prihatin dalam menangani masalah banjir kilat seperti menjaga kebersihan sungai. Selain itu, kerajaan pula hendaklah menguatkuasakan undang-undang dan mengetatkan lagi peraturan yang sedia ada. Kerajaan juga hendaklah mengadakan kempen-kempen seperti “cintailah sungai kita” dan “Sungai kita tanggung jawab kita”. Semoga rakyat akan dapat hidup dengan aman dan selesa tanpa adanya gangguan banjir kilat setiap kali berlakunya hujan lebat. Negara kita juga akan dipandang tinggi oleh negara lain kerana bersih dan terhindar daripada ancaman banjir kilat. Banjir kilat sememangnya mendatangkan banyak masalah kepada masyarakat dan negara. Oleh itu bersama-samalah kita menjaga dan memelihara kebersihan sungai kita. 117 patah perkataan
.

No comments:

Post a Comment