Masalah membaca di universiti
Oleh Nazmi Yaakub @ Gambar oleh Nur Adibah Ahmad Izam
nazmi@bharian.com.my
Masih menjadi bahan perbincangan sedangkan ia pusat ilmu
AGAK ironi dan aneh kedengaran apabila topik minat serta budaya membaca masih diperdebatkan di universiti , sedangkan institut pengajian tinggi (IPT) bergerak di atas landasan ilmu pengetahuan, manakala buku pula menjadi bukti ampuh kepada tradisi keilmuan.
Bagaimanapun, itulah hakikat yang terpaksa dikunyah dan ditelan apabila ia dibincangkan pada Wacana Malaysia Membaca di Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam, baru-baru ini.
“Mereka hanya membaca benda yang sia-sia dan ada ketikanya berbau seksual atau bahan bacaan yang tidak membantu mereka menjadi insan kukuh. Kita didatangkan ke dunia ini bukan hanya untuk berhibur, sebaliknya bertanggungjawab membina kehidupan bererti di alam ini,” katanya pada ucap utama Wacana Membaca Malaysia.
Tanpa pendedahan kepada ilmu yang dikutip daripada pembacaan, A Samad berkata, ia menyebabkan manusia mencetuskan bibit yang akhirnya menggersangkan dunia termasuk melakukan kerosakan kepada alam.
Beliau turut berkongsi pengalaman dalam dunia pembacaannya, khususnya selepas berhenti kerja pada 1987, sehingga memberi peluang kepada pembacaannya menjalar ke bidang ilmu lain dan tidak lagi terhad kepada karya sastera.
“Saya senangi dunia astronomi, ekonomi, politik, sosiologi dan kerana itu saya terbiasa dengan buku biografi Bernard Condeld, Richard Branson, Karl Marx dan Leon Trotsky, bahkan juga biografi Adolf Hitler.
“Saya gemar membaca mengenai skandal ekonomi, lebih kerana ingin mengetahui bagaimana penguasa menghuru-harakan masyarakat, selain terdorong memahami bagaimana kelompok bangsawan dan niagawan seperti disediakan untuk memimpin dunia,” katanya.
Beliau menganggap kecenderungan baru dalam pembacaannya itu turut menjadi faktor beliau terpanggil untuk turun ke dunia nyata dan kontemporari serta mula menerima seorang penulis tidak cukup hanya membaca dan menulis.
“Dunia penulis bukan lagi dalam bilik, sebaliknya dia juga ada tugas penting yang lain. Saya kira penulis juga sewajarnya berada di tengah-tengah masyarakat untuk cuba mengenal masalah yang menggelupas. Jika boleh turut bantu memberi kefahaman dan menyelesaikannya,” katanya.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim, menyarankan kempen gerakan membaca diperincikan lagi, sekali gus tidak lagi terhad kepada menjelaskan kepentingan membaca.
“Gerakan membaca sewajarnya memperincikan jenis bacaan yang perlu dibaca, kaedah membaca yang lebih berkesan, pengurusan kewangan dan masa untuk diluangkan bagi tujuan pembelian serta pembacaan buku.
“Adalah lebih sempurna sekiranya pengurusan pembacaan mula diperkenalkan di universiti, sebagai lambang kepada bermulanya generasi baru yang berminat dan menyintai buku serta ilmu lahir di negara ini,” katanya pada forum yang dipengerusikan Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat (Pelajar dan Alumni), Azman Mat Isa.
Ini kerana, Khairusy Syakirin berkata, perincian gerakan membaca wajar dibuat kepada pelajar IPT kerana universiti sebagai pusat pendidikan yang bersumberkan ilmu, berperanan untuk mendidik bangsa.
“Walaupun secara teorinya, manusia akan senang terdidik untuk dibudayakan sesuatu amalan sejak kecil lagi, umur remaja sekitar 17 hingga 24 tahun menjadi ruang sesuai untuk diajar secara lebih sistematik kerana masih mudah untuk dilentur menjadi golongan profesional.
“Kerana itulah, universiti menjadi lokasi terpenting untuk pembudayaan amalan yang baik, termasuk budaya membaca kerana ia menjadi aktiviti terpenting dalam penguasaan ilmu pengetahuan,” ujarnya.
Pandangan Khairusy Syakirin itu dipersetujui bekas Pegawai Perancang Bahasa Kanan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jaafar Abdul Rahim yang menyarankan pelajar IPT memburu gelaran pakar buku dengan membuka pemikiran melalui pembacaan di samping tidak terkongkong pada satu ilmu.
“Pelajar juga perlu bijak mendapatkan bahan bacaan sesuai dengan kemampuan dalam perbelanjaan mereka, khususnya dengan mencari kedai buku yang menawarkan harga murah berbanding kedai buku utama,” katanya.
Wacana bertema Kegersangan Mahasiswa Membaca itu, menyelongkar masalah minat dan budaya membaca di kalangan pelajar IPT, sekali gus mengemukakan jalan penyelesaian secara realistik kepada pelajar dengan tujuan memudahkan akses mereka kepada dunia buku.
Kerisauan terhadap minat dan budaya membaca di kalangan generasi muda itu diluahkan Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said pada wacana anjuran Pelajar Jurusan Sarjana Muda Sains Pengurusan Maklumat, Pengurusan Pusat Sumber Maklumat Semester 4, yang turut dihadiri Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat, Prof Madya Dr Adnan Jamaludin dan Penasihat Wacana Membaca Malaysia, Shaharom TM Sulaiman.
A Samad berkata, dunia pembacaan dianggap memberi nikmat kepadanya, tetapi beliau risau apabila melihat senario angkatan muda khususnya pelajar IPT yang hanya membaca buku teks dan selepas berjaya mendapat ijazah, mereka tidak lagi membaca.
No comments:
Post a Comment