Saturday, September 18, 2010

Karangan Bahagian B

Soalan : Sejak belakangan ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan moral golongan muda sering menjadi tajuk perbincangan pihak media massa. Selaku rakyat yang prihatin terhadap perkara ini, anda dikehendaki manulis pendapat anda mengenai pelbagai masalah moral muda-mudi yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat umum.

Tuliskan pendapat anda itu dalam bentuk rencana untuk disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Keruntuhan Akhlak Remaja

Oleh Musa Ahad

Mutakhir ini, isu-isu berkaitan dengan keruntuhan moral dalam kalangan muda-mudi kerap menghiasi dada akhbar tempatan. Penglibatan golongan muda-mudi dalam pelbagai kegiatan jenayah dan budaya yang bercanggah dengan norma-norma masyarakat timur dilaporkan berlaku saban hari. Hal yang menghairankan kita ialah masyarakat umum seolah-olah tidak berganjak untuk mengekang kemaraannya malah hanya berpeluk tubuh sahaja. Apabila gejala ini semakin membara, pihak berkuasa juga yang dipersalah atas kelembapan mereka menjalankan tugas walaupun sebenarnya dapat disekat ketika masih di peringkat awalnya.

Golongan muda-mudi hari ini paling kerap terlibat dalam gejala jenayah sosial khususnya vandalisme, peras ugut, merompak, merogol malahan ada yang membunuh. Kegiatan candalisme merupakan jenayah yang paling popular masa kini. Kegiatan ini seolah-olah mempunyai aliran masa dan kini masalah ini semakin memuncak. Harta benda awam khususnya telefon awam, perhentian bas, tandas awam dan banyak lagi harta benda kerajaan dirosakkan dengan apa-apa jua cara yang dapat memuaskan keinginan mereka. Walaupun pihak berkuasa berusaha untuk memperbaiki harta benda awam yang rosak tapi kerosakan semakin kerap berlaku. Golongan ini ternyata tidak sedar bahawa tindakan merosakkan ganggang telefon, peti duit dan menulis perkataan-perkataan yang mencaci orang di perhentian bas, serta merosakkan kerusi sebagai tindakan yang menggambarkan keruntuhan akhlak dan moral yang teruk dan perbuatan ini akan menggugat ketenteraman awam.

Masyarakt umum tentunya memainkan peranan dalam situasi begini memandangkan mereka ialah golongan yang lebih terdedah kepada penggunaan harta benda awam ini. Sikap acuh tak acuh dan mementingkan diri sesetengah masyarakat adalah punca yang mendorong merebaknya penyakit sosial ini. Jenayah-jenayah seperti merompak dan membunuh pula lebih berkait rapat dengan faktor pengawalan keselamatan. Masyarakat seharusnya menggemblengkan tenaga dalam tugas kawalan keselamatan dengan menubuhkan Persatuan Rukun Tetangga. Hal ini bertujuan untuk mengadakan rondaan yang sekerap mungkin ataupun meminta bantuan rondaan pihak polis bagi mengatasi gejala yang kurang sihat daripada terus menular. Kalau dibiarkan tidak mustahil remaja akan cuba melakukan sesuatu perkara dengan lenih berani lagi, contohnya membunuh. Kesedaran menangani masalah secara bekerjasama seharusnya menjadi pegangan setiap lapisan masyarakat memandangkan kawalan keselamatan oleh pihak tidak semestinya sempurna dan berjalan lancar. Peristiwa memeras ugut sama ada secara kecil atau secara besar-besaran semakin galak berlaku sejak kebelakangan ini. Baru-baru ini seorang remaja di tahan atas tuduhan memeras ugut ibu bapa mereka sendiri sebanyak RM20,000 dan menganiaya ibu bapanya apabila mereka enggan berbuat demikian. Kes memeras ugut dalam kalangan pelajar sudah menjadi fenomena biasa yang melibatkan golongan muda yang telah dibuang sekolah atau menganggur yang sering bergerak dalam kumpulan. Kegagalan ibu bapa membentuk akhlak anak-anak mereka semasa mereka masih kecil merupakan salah satu punca utamanya.

Budaya kuning yang sudah menular dengan pantas dan akan berakar umbi dalam kalangan golongan muda mudi turut kurang diberi perhatian. Remaja-remaja yang sudah begitu masak dengan budaya bohsia dan bohjan membuktikan bahawa betapa jeliknya akhlak remaja kita. Remaja kini sudah begitu ghairah dan berani terjebak dengan maksiat yang bertentangan dengan soal-soal agama dan tidak menghiraukan pandangan hina daripada masyarakat umum. Mereka berbuat sesuka hati asalkan memuaskan keinginan sendiri tanpa menghiraukan masyarakat umum kerana mereka tahu biasanya msyarakat tidak akan campur tangan atau tidak mahu menjaga tepi kain orang lain kerana mungkin mereka tidak mahu membebankan diri untuk memikirkan masalah remaja itu atau mereka takut meludah ke langit akan terkena muka sendiri yang bermaksud jika mengambil tahu sangat tentang orang lain, nanti akan menimpa anak sendiri pula. Kesannya gejala ini semakin menular dan hanya sebahagian dapat ditegah dan dibanteras apabila rondaan pihak berkuasa dijalankan. Masyarakat umum tidak seharusnya memencilkan diri apabila bertembung dengan golongan remaja yang melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan maksiat sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin. Langkah awal ini mungkin dapat menyelamatkan golongan ini daripada terus terjerumus dalam kancah kehinaan. Kebanyakan gadis yang terjebak ke lembah maksiat mendorong kepada gejala membuang bayi, pelacuran, dan sebagainya. Fenomena yang tidak berperikemanusiaan ini sesungguhnya amat mengaibkan masyarakat dan menimbulkan lebih banyak masalah jenayah. Masyarakat dan ahli keluarga adlah dipertanggungjawab dalam menangani masalah ini. Didikan agama amat penting dalam mendidik anak-anak supaya berakhlak mulia. Kawalan dan perhatian ibu bapa serta kasih sayang harus disemai sejak masih rebung lagi.

Golongan muda-mudi diibaratkan tonggak pembangunan negara yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan negara. Dalam masa menongkah arus remaja, golongan ini sudah tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun kesilapan awal seharusnya dibetulkan secepat mungkin agar kesilapan yang sama tidak diulangi dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Masyarakat umum sememangnya dapat menyekat pengaliran masalah ini sekiranya masing-masing sedar pentingya sikap tidak mementingkan diri sendiri di tangga. Sebaliknya bantuan dan keperihatinan masyarakat boleh diibaratkan pemangkin yang dapat mambanteras masalah golongan muda-mudi dn membantu mereka melalui pancaroba hidup dengan lebih tabah. Kita tidak mahu sudah terhantuk baru terngadah.

1 comment:

  1. terima kasih cikgu atas contoh karangan ini. sangat membantu saya untuk buat pendahuluan

    ReplyDelete