Semasa di dalam bilik guru pusat sumber sekolah, saya terdengar perbualan antara rakan seperjuangan yang sedang mengusik seorang guru baru. Antara perbualannya “Sudah ada yang punya atau belum”. Soalan ini dijawab dengan iringan senyuman “Siapalah yang sudi memperisterikan saya yang tidak cantik ini,” katanya.
Saya amat tertarik dengan jawapan guru baru itu. Bukan kerana dia masih solo tetapi kerana ada sesuatu perkataan yang tidak tepat dalam jawapan itu iaitu memperisterikan.
Saya berpendapat bukan guru baru itu sahaja yang tidak memahami maksud perkataan memperisterikan, malah ramai yang keliru menyebabkan perkataan ini menjadi tidak tepat seperti perkataan berikut:
• Ramai kenalan yang ingin memperisterikan saya sebagai teman hidupnya tetapi saya kurang berminat.
• Cikgu Azmin juga pernah meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya .
Mengikut Kamus Dewan, memperisterikan bermaksud memberi isteri atau mengahwinkan anak. Dalam Buku Tatabahasa Dewan memperisterikan bermakna menjadikan seseorang beristeri.
Dari segi semantik (makna) frasa memperisterikan saya dalam perbualan yang saya dengar tadi bermakna menjadikannya beristeri sedangkan guru baru itu seorang perempuan. Sepatutnya guru baru berkenaan perlu menjawab “Siapalah yang sudi memperisteri saya,”
Memperisteri bermaksud menjadikan seseorang sebagai isteri. Oleh itu ayat yang tepat digunakan ialah pemuda itu telah memperisteri gadis pilihan ibu bapanya. Bagaimana pula dengan ayat Pak Sulaiman telah memperisterikan Azhar.? Tentu ramai yang akan ketawa apabila mendengar ayat tersebut. Sebenarnya ayat itu gramatis dan betul dari segi makna. Ayat itu bermaksud Pak Sulaiman sebagai ayah akan mengahwinkan anaknya Azhar. Adalah lebih elok lagi jika ayat itu berbunyi “ Pak Sulaiman akan memperisterikan Azhar dengan Safura.”
**Dimaklumkan bahawa penggunaan nama yang terdapat dalam hasil penulisan ini tidak berkaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau mati. Saya mohon maaf sekiranya penulisan ini ada menyinggung mana-mana pihak. ^_^
No comments:
Post a Comment