Tuesday, November 2, 2010

Fokus Soalan Novel SPM 2010

Semua Jawapan berdasarkan Novel Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan

Negeri Perak

1. Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji jelaskan dua peristiwa yang menunjukkan tindakan watak utama yang wajar diberi pujian

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad, dua peristiwa yang menunjukkan tindakan watak utamanya iaitu Putera Bongsu ialah menyelamatkan rakyat dari terbunuh. Buktinya, Putera Bongsu telah menyembunyikan orang bunyian semasa serangan dua buah kapal terbang British di Puncak Gunung Tahan. Peristiwa lain ialah peristiwa menyelamatkan tanah air dari penjajah. Dal hal ini, Putera Gunung Tahan tidak rela menyerahkan Puncak Gunung Tahan kepada Tn. William dan Tuan Robert walaupun diberi bayaran sebanyak RM5000 sebulan.

2. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, kemukakan dua peristiwa yang menunjukkan unsur suspens yang terdapat dalam setiap novel.

Terdapat dua unsur suspens dalam novel Di hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Unsur Suspens dalam novel Di hadapan Pulau ialah ketika Aziz dan Afidah berlari-lari keluar sambil menangis kerana Shelter dibom oleh pihak musuh. Pembaca tertanya-tanya sama ada Tuk Marzuki masih selamat atau sebaliknya. Unsur Suspens kedua dalam novel ini ialah Apabila Tuk Marzuki meninggal dunia. Pembaca tertanya-tanya apakah nasib Aziz dan Afidah kerana selama ini mereka di jaga oleh Tuk Marzuki.

Dua unsur suspens yang terdapat dalam novel Putera Gunung Tahan pula ialah ketika majlis perkahwinan Tuan Robert dengan gadis Sakai. Pembaca tertanya-tanya sama ada tuan Robert berjaya mengejar dan mengahwini perempuan tersebut. Unsur suspens lain ialah Tuan Robert dan Tuan William mendaki Puncak Gunung Tahan dalam keadaan cuaca buruk. Dalam keadaan ini pembaca tertanya-tanya sama ada usaha mereka berjaya atau tidak disamping ingin mengetahui punca kehilangannya.


Negeri Kelantan

1. Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang menunjukkan semangat tolong-menolong yang berlaku dalam masyarakat?

Berdasarkan novel Di hadapan Pulau karya A. Samad Said, terdapat 2 peristiwa yang menunjukkan semangat tolong-menolong iaitu peristiwa Tok Marzuki dengan beberapa orang penduduk kampung bekerjasama untuk membantu Mak Ketong membina Shelter. Selain itu, peristiwa tolong-menolong lain ialah Syed Fikri membantu anak-anak kampung belajar mengaji Al-Quran.

2. Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajar, huraikan satu kegiatan ekonomi masyarakat dalam setiap novel.

Dalam dua buah novel yang dipelajari iaitu Di hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan, masing-masing ada memaparkan kegiatan ekonomi masyarakat. Sebagai contoh dalam novel Di haddapan Pulau Kegiatan masyarakat yang dipaparkan ialah bercucuk tanam. Buktinya Syed Fikri menanam sayur untuk menyara kehidupannya. Dalam novel Putera Gunung Tahan pula, terdapat kegiatan berburu yang dilakukan oleh masyarakat orang Sakai untuk menyara kehidupan seharian.


Negeri Pulau Pinang

1. Sesebuah novel akan memperlihatkan sesuatu peristiwa yang mampu menyentuh perasaan pembaca. Jelaskan dua peristiwa yang menyentuh perasaan dalam novel yang anda kaji.

Berdasarkan novel Di hadapan Pulau karya A. Samad Said, dua peristiwa yang mampu menyentuh perasaan pembaca ialah peristiwa Tuk Marzuki terbunuh dalam serangan bom tentera Jepun. Afidah dan Aziz kehilangan tempat bergantung yang selama ini melindungi mereka sesudah ketiadaan ibu bapa mereka. Selain itu, peristiwa Kapten Hebat (Mahmud) yang sewel sanggup memakan tangan dan kaki Mokmeng, monyet peliharaan Mak Ketong kerana lapar dan ketiadaan makanan untuk dimakan.

2. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupannya.

Berdasarkan novel Di hadapan Pulau karya A.Samad Said, satu peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama menyelesaikan masalah ialah Bijak mengatasi masalah kelaparan. Aziz yang diancam kelaparan berusaha mencari makanan di kubur yang menurut mereka ada makanan tersimpan di situ. Dalam novel Putera Gunung Tahan pula, Putera Bongsu bijaksana dalam menyelamatkan penduduk Puncak Gunung Tahan. Buktinya beliau telah menyembunyikan orang-orang bunyian (tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh orang Inggeris)


MRSM

1. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada pembaca.

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj, Muhammad, dua peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada pembaca ialah peristiwa Pengeboman dua buah kapal terbang Inggeris ke atas Puncak Gunung Tahan. Pembaca tertanya-tanya apakah yang akan berlaku selepas pengeboman itu.

Selain itu ialah peristiwa kehilangan Tuan Robert dari dalam gua. Pembaca tertanya-tanya kemanakah Tuan Robert menghilang, adakah Tuan Robert telah mati, tersesat jalan atau ditangkap oleh orang Sakai.

2. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu peristiwa yang menunjukkan usaha watak-watak saling membantu dalam menyelesaikan masalah bagi setiap novel.

Terdapat peristiwa yang menunjukkan usaha watak-watak yang saling membantu dalam menyelesaikan masalah dalam novel Di hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Dalam novel Di hadapan pulau usaha tersebut jelas dilihat dalam usaha membina shelter. Syed Fikri bersama-sama penduduk kampung bantu membantu membina shelter sebagai tempat perlindungan.

Peristiwa dalam novel Putera Gunung Tahan ialah membantu orang yang sedang sakit. Buktinya orang Sakai membantu perempuan tua yang ditinggalkan keseorangan di dalam hutan ketika mahu melahirkan anak.


Sekolah Berasrama Penuh

1. Pengarang biasanya menggunakan karya yang ditulis sebagai medan untuk menegur pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, jelaskan dua teguran yang dibuat oleh pengarang.

Berdasarkan novel di hadapan Pulau karya A. Samad Said, terdapat teguran yang dibuat terhadap masalah sosial antaranya sikap manusia yang sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk meneruskan kehidupan, contohnya Rosiah sanggup menggadai maruah diri untuk mencari sesuap nasi. Teguran lain ialah Sikap manusia yang tidak memikirkan kesan penceraian terhadap anak-anak. Hal ini dapat dilihat melalui watak Aziz dan Afidah yang terpaksa tinggal dengan datuknya Tuk Marzuki, sedangkan ibu bapa kandungnya bersikap tidak peduli.

2. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan satu unsur saspens yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

Rujuk jawapan negeri Perak


Negeri Johor

1. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan perselisihan pendapat yang berlaku antara watak-watak dalam novel tersebut.

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad, terdapat unsur perselisihan faham yang berlaku antara watak iaitu perselisihan pendapat antara Tuan Robert dengan Perempuan Tua tentang agama Islam dan agama Kristian. Perselisihan faham lain ialah tentang bangsa Melayu dan bangsa Inggeris oleh Tuan William dengan Ratu Bongsu.

2. Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan pengorbanan yang telah dilakukan oleh satu watak bagi setiap novel.

Berdasarkan novel Di hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan, terdapat pengorbanan watak dalam setiap novel tersebut. Pengorbanan yang terdapat dalam novel Di hadapan Pulau ialah pengorbanan datuk terhadap cucunya iaitu Tuk Marzuki sanggup berkorban menjaga cucunya Afidah setelah ibu bapanya bercerai. Dalam novel Putera Gunung Tahan pula, jelas dilihat pengorbanan Ratu Bongsu dalam mempertahankan tanah air. Beliau enggan menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada Inggeris walaupun ditawarkan harta dan pangkat.


Fokus Karangan SPM 2010 (6)

Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara.
Huraikan usaha-usaha yang mampu dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan negara.


Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat malaysia oleh kerajaan kita. Industri pelaancongan berpotensi untuk dimajukan di negara ini kerana Malaysia ialah destinasi pelancongan yang unggul dan mampu memantapkan ekonomi negara kita. Banyak tempat yang boleh dikunjungi oleh peancong-pelancong asing dan tempatan di negara ini. jadi, memang ada banyak usaha yang boleh dijalankan untuk memajukan industri pelancongan kita.

Kerajaan boleh menambahkan kemudahan prasarana seperti kemudahan pengangutan dan perhubngan ke destinasi-destinasi yang menarik. Kemudahan ini memberi lebih banyak peluang kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka suka. Jadual penerbangan juga perlu ditaambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah. Cuma mutu perkhidmatan pengangkutan ini hendaklah diselia sepanjang masa untuk memastikan keselesaan pelancong.

Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginaan seperti hotel dan chalet. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan mengenakan kadar bayaran yang berpatutan bersama-sama bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Keadaan yang selesa ini menimbulkan rasa untujk mekawt semula kepada pelancong tersebut. Mereka akan mngajak kawan kawan untuk datang ke malaysia dan menyebabkan kemasukan mata wang asing.

Malahan, kerajaan perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan aktiviti pelancongan. Promosi tentang destinasi, kebudayaan dan karnival jualan di laksanakan dengan giat. Usaha mempromosikan negara ini bokeh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet untuk menyebarkan maklumat pelancongan ini. Penggunaan internet memastikan semua pelancong memperoleh maklumat apabila mereka melayari internet untuk mendapatkan maklumat pelancongan. Jelaslah, promosi yang giat ini memastikan bahawa semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan.

Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan. Kemudahan pelancongan semestinya bersh dan diselenggarakan dengan baik. Ketiadaan pencemaran terutama kekotoran memastikan pelancong akan terus datang ke destinasi tersebut tanpa rasa ragu-ragu lagi. Jelaskan, kebersihan yang diberikan penekanan ini menyebabkan pelancong dapat menikmati udara yang segar dan keadaan yang selesa.

Manakala itu, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat negara ini. Pelancong tidak suka rakyat negara ini mengambil kesempatan atau menipu mereka selama mereka berada di negara ini. Keramahan rakyat negara iini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, industri pelancongan ini memang penting dberi penekanan oleh rakyat dan kerajaan negara ini. Pelbagai usaha yang dilakukan itu memerlukan gandingan tenaga semua pihak untuk memastikan kejayaannya. Mungkin semua pihak harus merenung dan melihat peranan yang telah dilakukan oleh mereka.

Fokus Karangan SPM 2010 (5)

PEMBANGUNAN MODAL INSAN: PERANAN IBU BAPA DALAM MEREALISASIKAN IMPIAN NEGARA

Remaja dan Masalah Sosial

“ Saya terjebak dengan aktiviti lumba haram sejak dua tahun lalu letika masih bersekolah rendah.Pada mulanya saya sekadar menonton rakan lain)berlumba) kerana tidak mampu membeli motsikal. Bagaimanapun, akibat perasaan yang terlalu bergelora menjadi ‘pelumba haram’,saya nekad mencuri motosikal.Ketika itu saya tahun enam.Ia menjadi titik mula ‘kerjaya ‘saya sebagai pelumba jalanan.”

“Sebagai anak bongsu daripada enam beradik, mungkin saya tidak mendapat perhatian sewajarnya.malah, perlakuan saya tidak pernah mendapat perhatian keluarga”

Itulah sebahagian petikan pengakuan remaja bermasalah daripada 55 pelajar tingkatan dua yang mengikuti Kem Smart remaja Siri Kelapan Remaja ini digelar oleh penulis artikel “Ramai Tersesat” sebagai ‘setan cilik’ kerana dalam usia semuda 14 tahun, mereka bukan sahaja bergerak cergas di dalam aktiviti seksual tetapi juga jenayah, dengan sebahagian besar mengaku aktif menjalankan kerja pecah rumah, mencuri, peras-ugut, buli dan gangsterisme (Metro ,Ahad,15 April 2007).

Pastinya. permasalahan sosial pada hari ini cukup membimbangkan kita. Gejala sosial dan keruntuhan moral yang melibatkan remaja dan pelajar sekolah sangat mencemaskan hati kita. Pasti kita tergamam apabila membaca pengakuan remaja tersebut. Terbaru ,kita dikejutkan lagi dengan gejala keruntuhan akhlak remaja.Di muka depan akhbar Harian Metro .(Sabtu, 21 April 2007) terpampang berita tentang segelintir remaja anak orang kaya yang dikesan menganjurkan parti liar atau lebih dikenali “One Nite Stand Party” setiap bulan bagi menikmati seks bebas, minum arak serta mengambil dadah seperti ganja dan Ecstasy.

Inikah ciri-ciri modal insan yang ingin kita hasilkan? Insan yang mempunyai akhlak yang buruk, yang tidak mengenal Tuhannya, yang hanyut dalam dunia ciptaannya sendiri.? Adakah insan yang tidak tahu hala tuju dan hanya mengejar keseronokan serta menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk berhibur dan melepaskan nafsu syahwat semata-mata? Apakah yang akan jadi kepada masa depan negara seandainya dipimpin oleh modal insan yang sedemikian rupa?

Mahukah kita menjadi maju dalam ekonomi seperti Amerika Syarikat tetapi mempunyai masalah sosal dan jenayahnya yang juga tinggi dan sukar dibendung?. Tentunya hanya satu perkataan sahaja yang menjadi jawapan bagi semua soalan tadi iaitu TIDAK!

Sesungguhnya kita sedar tidak mungkin kita akan membenarkan negara dimusnahkan oleh mereka yang umpama sampah masyarakat yang sepatutnya “dikitar semula” supaya bermanfaat kepada negara.Kerajaan tidak mampu untuk memejam mata sahaja. Kerajaan terpaksa melihat ”sampah” yang hanya akan mendatangkan bau yang kurang menyenangkan dan mengundang lalat dan nyamuk serta segala macam haiwan pembawa “penyakit sosial".
Kerajaan terpaksa mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah timbunan “sampah masyarakat” ini .Kerajaan terpaksa juga membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk “mengitar semula” sampah masyarakat ini. Pelbagai usaha yang diambil oleh kerajaan seperti pembinaan pusat-pusat serenti bagi memulihkan penagih-penangih dadah, kempen-kempen kesedaran dan sebaginya supaya masa depan negara dapat diselamatkan daripada diterajui oleh generasi yang rapuh, yang runtuh akhlaknya dan tidak berguna dan mungkin sanggup menjual negara .

Pembangunan modal insan

Aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya. Kita ingin membina modal insan yang bukan sekadar terlatih , berdaya saing , mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru dan mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah, tetapi juga mempunyai nilai-nilai murni dan budaya yang tinggi .

Hal ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menekankan pembangunan insan yang seimbang yang merangkumi aspek intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Matlamat KPM adalah untuk memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi, menerapkan nilai, moral dan sikap positif serta membina disiplin diri dalam kalangan pelajar.

KPM juga ingin membangunkan modal insan yang memiliki penampilan unggul untuk mendukung cita-cita negara serta menyediakan kepimpinan yang utuh ‘towering personality’. Seseorang dengan penampilan unggul mempunyai ciri-ciri berhemah mulia, berpendidikan serta berjaya dalam bidang yang diceburi. Di samping itu, seseorang yang memiliki penampilan unggul akan memiliki sifat-sifat seperti amanah, berbudi pekerti, rajin, berdisiplin, ikhlas dan tekun dalam semua usahanya. (PIPP 2006-2010)

Penjanaan pembangunan modal insan yang seimbang dan menyeluruh ini merangkumi pembangunan ‘kebendaan’ dan pembangunan ‘kemanusiaan’. Inilah yang dimasudkan oleh Perdana Menteri kita, pembinaan modal insan mengikut “acuan kita sendiri “ Bukan sekadar modal insan yang berupaya memenuhi kehendak tempatan dan antarabangsa, tetapi juga berupaya mengekalkan identiti bangsa Malaysia yang bukan sahaja maju tamadunnya tetapi masih mengekalkan adat dan budaya ketimurannya. Strategi Pembangunan Modal Insan ini dianggap seiring dengan konsep Islam Hadhari yang kelapan iaitu ‘Keutuhan Budaya dan Moral’.

Kerajaan telah memainkan peranan yang amat baik dan menyediakan landasan yang cukup utuh dalam usaha melahirkan modal insan yang diinginkan. Namun, tentunya segala wang ringgit dan usaha yang dicurahkan oleh kerajaan menjadi sia-sia sekiranya masalah sosial masih membelenggu kita dan ibu bapa sendiri gagal memainkan peranannya

Peranan ibu dalam membangunkan modal insan

Peranan ibu bapa sangat penting dalam membantu melahirkan modal insan sebagaimana yang diinginkan oleh negara. Sebelum seseorang insan itu dapat dibentuk menjadi modal insan yang berkualiti melalaui pendidikan formal, dia terlebih perlu dahulu dididik dan diasuh oleh ibu bapanya secara informal .Guru dan pihak sekolah tidak harus dibebani dengan masalah disiplin pelajar yang rata-ratanya berpunca daripada kepincangan dalam keluarga dan ketidakbahagiaan dalam rumah tangga, serta kekurangan didikan agama oleh ibu bapa.

Abdullah Sani Yahaya dalam bukunya “ Mengurus Displin Pelajar”.(2005:125) menyatakan salah satu faktor penyebab remaja terlibat dalam gejala sosial ialah kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa. Oleh itu, peranan ibu bapa yang penting ialh sebgai ‘pemberi’ kasih sayang yang tiada batasan kepada anak-anak. Ibu bapa haruslah menjalinkan hubungan kasih sayang yang tulus ikhlas dengan anak-anak. Kasih sayang ini juga perlu dipamerkan kepada anak-anak supaya mereka merasai bahawa diri mereka disayangi dan dihargai oleh ibu bapa.

Pemberian kasih sayang bukan bermakna ibu bapa perlu memanjakan dan memenuhi segala permintaan anak-anak mereka tetapi sebaliknya perlu berpandukan Al-Quran dan hadis dan disertai dengan pemberian didikan agama.Dengan cara ini, akan terbentuklah jiwa yang tenang dan selamat dalam diri anak-anak.Seterusnya ia akan mewujudkan sikap menyayangi dan menghargai ibu bapa.

Dalam bukunya “Membentuk Identiti Remaja” (et.al, 2005: 191), Azizi Yahya juga menyarankan agar ibu bapa menunjukkan kasih sayang, saling hormat menghormati serta memainkan peranan yang terbaik.Tindakan sedemikian dapat menanam konsep kendiri yang positif dalam diri kanak-kanak. Hal ini kerana semasa peringkat kanak-kanak , mereka mahu supaya diri mereka diterima sepenuhnya dan disayangi tanpa sebarang syarat.

Faridah Maludin dalam artikelnya yang bertajuk “ Akhlak Ibu Bapa Banteras Kes ‘Generasi XYZ’” juga menekankan kepentingan pemberian kasih sayang oleh ibu bapa kepada anak-anak. Menurut beliau, kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik dan membina keyakinan diri anak remaja. Berbekalkan keyajinan diri yang tinggi,beliau yakin anak-anak remaja akan berupaya menangkis pengaruh budaya negatif dalam kehidupan mereka.

Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid dalam buku tulisannya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu iaitu “ Didik Anak Cara Rasullullah s.a.w” (2006: 343), menjelaskan bahawa kasih sayang terhadap anak merupakan bahagian dari sifat-sifat Nabi Muhammad. Rasullullah s.a.w menitikberatkan pemberian kasih saying kepada anak-anak.Malah kitta digalakkan memeluk dan mencium anak-anak demi mewujudkan ikatan kasih sayang yang utuh dan pembinaan kejiwaan yang baik dalam diri anak-anak.

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu bahawa dia berkata: Rasulullah s.a.w mencium cucunya Hasan bin Ali Radhiyallahu, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi lalu beliau mengatakan: “Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh anak, namun aku tidak pernah mengucup seorangpun daripada mereka”
Rasulullah SAW kemudiannya bersabda:
“Siapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.”

Jesteru, bagi membentuk peribadi anak-anak yang positif, pemberian kasih sayang amat penting.Apabila anak-anak berasa disayangi, maka mereka dapat menerima didikan yang diberikan oleh ibu bapa.
Ibu bapa juga merupakan ‘role model’ bagi anak-anak.Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid ( 2006: 589) telah meletakkan keteladanan yang baik sebagai asas kaedah yang utama yang harus dipegang oleh kedua ibu bapa.Ujarnya, ibu bapa perlu memberi teladan yang baik kepada anak-anak. Hal ini kerana ia memberikan pengaruh yang besar kepada anak-anak. Rasullullah s.a.w sendiri mendorong kedua ibu bapa agar menjadi teladan yang baik bagi anak-anak. Ibu bapa perlu mempamerkan akhlak yang baik seperti bersikap jujur apabila berhadapan dengan anak-anak.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah Radiyallahu Anhu bahawa Rasullullah s.a.w bersabda;

“ Siapa yang mengatakan kepada anak kecil, “ Ke sinilah kasih. Namun dia tidak memberikanya sesuatu, maka dia itu termasuk ucapan dusta.”

Anak-anak akan selalu memperhatikan dan mengawasi perilaku orang-orang dewasa.Mereka akan mencontohi dan mengawasi perilaku orang-orang dewasa itu. Jika anak-anak itu mendapati kedua ibu bapanya berlaku jujur, maka mereka akan membesar dengan kejujuran.Begitu juga sebaliknya.Apabila ibu bapa tidak berlaku jujur maka anaka-anak tidak akan memepercayai ibu bapa lagi.Demikian juga halnya dalam perkara-perkara lainnya.

Ibu bapa juga berperanan sebagai pembimbing atau fasilitator kepada anak-anak.Anak-anak dibimbing supaya membuat sesuatu perkara yang betul dan dengan cara yang betul. Ibu bapa perlu menyedari bahawa dalm proses pembelajaran, anak-anak pasti melakukan kesilapan.Kesilapan yang dilakukan perlulah diperbetulkan dengan cara yang baik. Ibu bapa perlu memberikan teguran yang membina bukan mengkritik dan memusnahkan keyakinan diri anak-anak, apatah lagi menghukum anak-anak dengan menggunakan kekerasan. Ibu bapa aperlu memebimbing anak-anak supaya memebuat pertimbangan yang betul dan rasional.

Hashim Ahmad dalam artikelnya “Hukum Anak Untuk Mendidik” (Harian Metro ,Rabu, 11 April 2007),menganjurkan agar ibu bapa menyertakan kelembutan dalam mengarahkan anak. Apabila ibu bapa ingin memperbaiki keadaan anaknya, mereka hendaklah menggunakan kata-kata lembut dan pelbagai bentuk anjuran.Melalui cara ini, pastinya anak-anak akan lebih bersedia menerima teguran dan cuba memperbaiki kesilapan dan kelemahan.
Allah berfirman dalam surah ali Imran,ayat 159 yang bermaksud,

“Maka kerana rahmat Al-Allahlah engkau berlembut terhadap mereka.Seandainya engkau bersikap kaku dan keras hati tentu mereka akan menjauhkan diri daripada sekelilingmu”

Ibu bapa perlulah menjalankan peranan mereka dalam melentur rebung sejak dari rumah lagi. Mereka perlu menyulami kain putih pemberian Allah SWT dengan keseimbangan ilmu dunia dan akhirat.. Didikan agama dan penerapan nilai-nilai murni, kasih sayang dan jati diri serta nilai asas pemebntukan modal insan harus diberikan secukupnya kepada anak-anak .
Hakikatnya menjadi ibu bapa merupakan cabaran yang amat besar pada zaman ini.Ibu bapa perlu mempunyai kecekapan dan kemahiran dalam mendidik anak-anak.Ibu bapa juga harus mempelajari ilmu keibubapaan untuk melengkapkan diri sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab.

Ibu bapa harus sedar bahawa mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam membangunkan modal insan sebagaimana yang diimpikan oleh kerajaan kerana mereka yang mencorakkan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.Ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka tidak boleh mengambil sikap ‘lepas tangan’ dan mengharapkan kerajaan atau pihak sekolah semata-mata.

Malangnya, terdapat juga ibu bapa yang menyerahkan tugas mendidik anak-anak bulat-bulat kepada guru lantaran sibuk mengejar kemewahan duniawi.Apabila anak mereka terlibat dengan gejala sosial atau jenayah, mereka mudah menyalahkan pihak sekolah dan para guru.Sedangkan yang patut meluangkan banyak masa dan perhatian serta kasih sayang kepada anak-anak ialah ibu bapa sendiri. Pengabaian anak-anak akan membuatkan mereka menjadi lebih liar dan cuba mendapat perhatian luar dengan melakukan pelbagai masalah sosial seperti vandalisme, gangstareisme, seks bebas dan sebagainya.

Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mengikut kata anak-anak sehinggakan mengekang pihak sekolah atau guru apabila mereka cuba mendisiplinkan pelajar.Ibu bapa harus sedar bahawa hukuman perlu dikenakan terhadap pelajar yang yang melakukan kesalahan dengan tujuan mendidik bukan mendera.

Terdapat ibu bapa yang enggan mengakui kesilapan anak mereka tetapi sebaliknya menyalahkan pihak sekolah. Malah,ada ibu bapa yang cepat melatah dan menyaman guru apabila anaknya didenda kerana tidak menurut arahan guru.Pernah berlaku satu kes di mana seorang guru telah disaman kerana memberi hukuman khidmat komuniti kepada pelajar yang tidak menyiapkan tugasan.Walaupun, akhirnya mahkamah memutuskan guru tersebut tidak bersalah namun kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh guru berkenaan yang terpaksa turun naik mahkamah dan digantung gaji hampir dua setengah tahun, pastinya membuatkan guru-guru lain berfikir beribu kali.

Apabila guru ‘takut’ untuk mendidik para pelajar dengan sebaik-baiknya, seperti membiarkan pelajar-pelajar membuat ‘apa’ sahaja ,sudah pasti kesannya terpaksa ditanggung oleh ibu bapa itu sendiri.Akhirnya akan lahirlah anak yang terlampau dimanjakan, tidak lagi menghormati guru dan tidak lagi mengamalkan nilai-nilai murni.Malah, mungkin akan menderhaka kepada ibu bapa .Namun, yang paling mendukacitakan apabila sekolah gagal melahirkan modal insan sebagaimana ayang diinginkan oleh kerajaan.

Kejayaan misi membangunkan modal insan bukan hanya terletak di bahu guru-guru, pihak sekolah mahupun kerajaan, tetapi harus juga didukung oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menyediakan asas peribadi yang kukuh dalam diri anak-anak mereka supaya tugasan guru mendidik dan mencurahkan ilmu dan pengetahuan kepada para pelajar dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. .Hanya dengan kerjasama ibu bapa dan guru-guru, menyediakan laluan mudah untuk kita membangun modal insan sebagaimana yang diimpikan oleh negara.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi sendiri menekankan bahawa biarpun pihak Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memastikan generasi muda negara akan menjadi modal insan yang berwibawa, berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan namun tanggungjawab untuk membentuk generasi muda adalah tanggungjawab kita semua dan seharusnya semua pihak berusaha menjana modal insan kelas pertama dan memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan agenda pendidikan negara akan terlaksana demi membina negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang

Fokus Karangan SPM 2010 (4)

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?

Sejak akhir-akhir ini isu kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat dalam kalangan rakyat di negara ini. Golongan OKU juga perlu dibela oleh seluruh anggota masyarakat kerana mereka tidak mampu melakukan aktiviti fizikal kerana kecacatan yang dialami itu. Sehubungan itu, institusi kerajaan, sawasta dan orang awam mestilah menyusun strategi atau usaha untuk membantu golongan OKU memajukan diri mereka supaya tidak tersisih dalam arus globalisasi kini. Pada masa yang sama mereka juga dapat memberi sumbangan untuk membangunkan ekonomi Negara ini.

Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki kenderaan dan perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk bekerja dan dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat. Oleh itu, sokongan daripada pihak kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan pusat-pusat latihan kemahiran OKU ini seperti Program Semai Bakti Pusat (PDK) di bawah pengawasan Felda di seluruh Negara berjaya melatih kira-kira 7,700 orang OKU dalam pelbagai bidang. Jelaslah kemahiran yang dimiliki oleh OKU itu akan membantu OKU berdekari dan menyumbangkan kepada kemajuan serta pembangunan ekonomi negara kita.

Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang standing dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meninkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka kea rah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.

Di samping itu, pihak swasta pula tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu bersikap adil kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Kita harus memuji Pasaraya Besar Carrefour telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya adalah OKU menjelang tahun 2010 nanti iaitu berjumlah kira-kira 200 orang. Oleh itu, peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada OKU untuk membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.

Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan segera melalui Kementeriannya agar minat OKU dalam bidang ini dapat dikembangkan dari masa ke masa. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia ke-9 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM 22 juta melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia. Semua OKU yang berminat boleh membuat permohonan dan perlu mendapat sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.

Kesimpulanya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan Negara menjelang tahun 2020 nanti. Bak kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

Fokus Karangan SPM 2010 (3)

Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Remaja

Remaja,

Ingatlah masa depanmu,

Kenanglah,

Jasa ibu dan ayahmu,

Susah payah mereka membesarkan kita.

Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Justeru, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.

Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan banteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.

Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada scenario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistic dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap “ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala social. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan priority utama dalam usaha membendung kemelut ini.

Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.

Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatic dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.

Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Justeru, dalam kita mengharung arus pascamodenisme, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.

Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

Berkorban apa sahaja,

Harta ataupun nyawa,

Itulah kasih mesra,

Sejati dan mulia.

Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!

Monday, November 1, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 (2)

KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.

Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010

Amalan Gaya Hidup Sihat

Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.

Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.

Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.

Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.

Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.