Monday, September 20, 2010

Karangan Berpandu


Bahagian A

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada permainan tradisional di Negara kita. Huraikan pendapat anda tentang kepentingn permainan tradisional. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan



Contoh Karangan


Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan ting-ting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.


Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.


Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa “sambil menyelam, minum air”. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.


Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.


Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main congkak!


Saturday, September 18, 2010

Karangan Bahagian B

Soalan : Sejak belakangan ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan moral golongan muda sering menjadi tajuk perbincangan pihak media massa. Selaku rakyat yang prihatin terhadap perkara ini, anda dikehendaki manulis pendapat anda mengenai pelbagai masalah moral muda-mudi yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat umum.

Tuliskan pendapat anda itu dalam bentuk rencana untuk disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.

Keruntuhan Akhlak Remaja

Oleh Musa Ahad

Mutakhir ini, isu-isu berkaitan dengan keruntuhan moral dalam kalangan muda-mudi kerap menghiasi dada akhbar tempatan. Penglibatan golongan muda-mudi dalam pelbagai kegiatan jenayah dan budaya yang bercanggah dengan norma-norma masyarakat timur dilaporkan berlaku saban hari. Hal yang menghairankan kita ialah masyarakat umum seolah-olah tidak berganjak untuk mengekang kemaraannya malah hanya berpeluk tubuh sahaja. Apabila gejala ini semakin membara, pihak berkuasa juga yang dipersalah atas kelembapan mereka menjalankan tugas walaupun sebenarnya dapat disekat ketika masih di peringkat awalnya.

Golongan muda-mudi hari ini paling kerap terlibat dalam gejala jenayah sosial khususnya vandalisme, peras ugut, merompak, merogol malahan ada yang membunuh. Kegiatan candalisme merupakan jenayah yang paling popular masa kini. Kegiatan ini seolah-olah mempunyai aliran masa dan kini masalah ini semakin memuncak. Harta benda awam khususnya telefon awam, perhentian bas, tandas awam dan banyak lagi harta benda kerajaan dirosakkan dengan apa-apa jua cara yang dapat memuaskan keinginan mereka. Walaupun pihak berkuasa berusaha untuk memperbaiki harta benda awam yang rosak tapi kerosakan semakin kerap berlaku. Golongan ini ternyata tidak sedar bahawa tindakan merosakkan ganggang telefon, peti duit dan menulis perkataan-perkataan yang mencaci orang di perhentian bas, serta merosakkan kerusi sebagai tindakan yang menggambarkan keruntuhan akhlak dan moral yang teruk dan perbuatan ini akan menggugat ketenteraman awam.

Masyarakt umum tentunya memainkan peranan dalam situasi begini memandangkan mereka ialah golongan yang lebih terdedah kepada penggunaan harta benda awam ini. Sikap acuh tak acuh dan mementingkan diri sesetengah masyarakat adalah punca yang mendorong merebaknya penyakit sosial ini. Jenayah-jenayah seperti merompak dan membunuh pula lebih berkait rapat dengan faktor pengawalan keselamatan. Masyarakat seharusnya menggemblengkan tenaga dalam tugas kawalan keselamatan dengan menubuhkan Persatuan Rukun Tetangga. Hal ini bertujuan untuk mengadakan rondaan yang sekerap mungkin ataupun meminta bantuan rondaan pihak polis bagi mengatasi gejala yang kurang sihat daripada terus menular. Kalau dibiarkan tidak mustahil remaja akan cuba melakukan sesuatu perkara dengan lenih berani lagi, contohnya membunuh. Kesedaran menangani masalah secara bekerjasama seharusnya menjadi pegangan setiap lapisan masyarakat memandangkan kawalan keselamatan oleh pihak tidak semestinya sempurna dan berjalan lancar. Peristiwa memeras ugut sama ada secara kecil atau secara besar-besaran semakin galak berlaku sejak kebelakangan ini. Baru-baru ini seorang remaja di tahan atas tuduhan memeras ugut ibu bapa mereka sendiri sebanyak RM20,000 dan menganiaya ibu bapanya apabila mereka enggan berbuat demikian. Kes memeras ugut dalam kalangan pelajar sudah menjadi fenomena biasa yang melibatkan golongan muda yang telah dibuang sekolah atau menganggur yang sering bergerak dalam kumpulan. Kegagalan ibu bapa membentuk akhlak anak-anak mereka semasa mereka masih kecil merupakan salah satu punca utamanya.

Budaya kuning yang sudah menular dengan pantas dan akan berakar umbi dalam kalangan golongan muda mudi turut kurang diberi perhatian. Remaja-remaja yang sudah begitu masak dengan budaya bohsia dan bohjan membuktikan bahawa betapa jeliknya akhlak remaja kita. Remaja kini sudah begitu ghairah dan berani terjebak dengan maksiat yang bertentangan dengan soal-soal agama dan tidak menghiraukan pandangan hina daripada masyarakat umum. Mereka berbuat sesuka hati asalkan memuaskan keinginan sendiri tanpa menghiraukan masyarakat umum kerana mereka tahu biasanya msyarakat tidak akan campur tangan atau tidak mahu menjaga tepi kain orang lain kerana mungkin mereka tidak mahu membebankan diri untuk memikirkan masalah remaja itu atau mereka takut meludah ke langit akan terkena muka sendiri yang bermaksud jika mengambil tahu sangat tentang orang lain, nanti akan menimpa anak sendiri pula. Kesannya gejala ini semakin menular dan hanya sebahagian dapat ditegah dan dibanteras apabila rondaan pihak berkuasa dijalankan. Masyarakat umum tidak seharusnya memencilkan diri apabila bertembung dengan golongan remaja yang melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan maksiat sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin. Langkah awal ini mungkin dapat menyelamatkan golongan ini daripada terus terjerumus dalam kancah kehinaan. Kebanyakan gadis yang terjebak ke lembah maksiat mendorong kepada gejala membuang bayi, pelacuran, dan sebagainya. Fenomena yang tidak berperikemanusiaan ini sesungguhnya amat mengaibkan masyarakat dan menimbulkan lebih banyak masalah jenayah. Masyarakat dan ahli keluarga adlah dipertanggungjawab dalam menangani masalah ini. Didikan agama amat penting dalam mendidik anak-anak supaya berakhlak mulia. Kawalan dan perhatian ibu bapa serta kasih sayang harus disemai sejak masih rebung lagi.

Golongan muda-mudi diibaratkan tonggak pembangunan negara yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan negara. Dalam masa menongkah arus remaja, golongan ini sudah tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun kesilapan awal seharusnya dibetulkan secepat mungkin agar kesilapan yang sama tidak diulangi dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Masyarakat umum sememangnya dapat menyekat pengaliran masalah ini sekiranya masing-masing sedar pentingya sikap tidak mementingkan diri sendiri di tangga. Sebaliknya bantuan dan keperihatinan masyarakat boleh diibaratkan pemangkin yang dapat mambanteras masalah golongan muda-mudi dn membantu mereka melalui pancaroba hidup dengan lebih tabah. Kita tidak mahu sudah terhantuk baru terngadah.

Karangan Berpandu


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang perlunya bangunan bersejarah di Negara kita di pelihara dan dipulihara. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan

CONTOH JAWAPAN KARANGAN BERPANDU

Negara kita sememangnya banyak mempunyai bangunan bersejarah. Antaranya ialah kota A Famosa, Kota Margherita, Fort Conrwallis, Bangunan Sultan Abdul Samad dan lain-lain. Bangunan bersejarah ini telah dibina sejak zaman penjajahan iaitu bermula pada zaman penjajahan Portugis pada abad ke-15 hinggalah zaman penjajahan British pada abad ke-19. Pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah ini adalah penting agar bangunan tersenut dapat menjadi warisan masyarakat dan khazanah Negara yang tidak ternilai harganya.

Melalui pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah, generasi muda dapat mengetahui dan mempelajari sejarah Negara dengan lebih berkesan di samping dapat merasai keadan tamadun pada zaman silam. Bangunan-bangunan bersejarah ini dapat memberi gambaran kepada kita tentang sejarah negara. Di Melaka misalnya, terdapat bangunan tersohor seperti Kota A Famosa yang dibina oleh Portugis dan Bangunan Stadthuys yanag dibina oleh Belanda dapat mengingatkan kita tentang kebesaran dan kehebatan Melaka sebagai sebuah kerajaan Melayu tersohor pada zamannya. Dengan melawat bangunan bersejarah itu kita juga dapat melihat sendiri kesan peninggalan penjajah. Hal ini penting untuk kita menambah pengetahuan tentang sejarah negara.

Selain itu, pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah juga penting sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi masa kini. Dalam konteks ini, bangunan bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda . Sebagai contoh Kota A Famosa di Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan kita tentang usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada zaman penjajahan dahulu. Tinggalan sejarah ini boleh mengingatkan generasi muda tentang segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan tanah air dan secara tidak langsung dapat mencelikkan kita agar sentiasa berwaspada terhadap musuh Negara.

Bangunan bersejarah juga mempunyai nilai ekonominya tersendiri, khasnya untuk perkembangan sektor pelancongan. Bangunan bersejarah ini menjadi salah satu destinasi yang dikunjungi oleh para pelancong sama ada dari dalam atau luar Negara. Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat tersebut. Sebagai contoh bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur seni yang tiada tolok bandingnya. Kedatangan pelancong tersebut bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara tetapi juga dapat menjana sumber pendapatan Negara. Hal ini kerana para pelancong , terutamanya pelancong asing akan berbelanja di Negara kita semasa mereka bercuti di sini. Oleh yang demikian Negara kita boleh mengaut keuntungan yang banyak daripada sektor pelancongan.

Kesimpulannya, bangunan-bangunan bersejarah perlu dijaga dan jika berlaku kerosakan, usaha-usaha untuk membaik pulih perlu dilakukan segera. Hal ini kerana bangunan bersejarah ialah khazanah bangsa yang penting untuk tatapan dan penghayatan generasi sekarang dan generasi akan datang.

Monday, September 13, 2010

SOALAN PERCUBAAN SPM NEGERI-NEGERI

Para pelajar SPM yang dikasihi, sila gunakan maklumat soalan percubaan negeri-negeri untuk tujuan latih tubi SPM 2010.

Sunday, September 12, 2010

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM

Selamat menghadapi peperiksaan pecubaan SPM 2010. Jangan lupa untuk terus mengunjungi laman ini bagi mendapatkan tips-tips terkini SPM 2010