Thursday, February 25, 2010

Memperisteri atau Memperisterikan...


Semasa di dalam bilik guru pusat sumber sekolah, saya terdengar perbualan antara rakan seperjuangan yang sedang mengusik seorang guru baru. Antara perbualannya “Sudah ada yang punya atau belum”. Soalan ini dijawab dengan iringan senyuman “Siapalah yang sudi memperisterikan saya yang tidak cantik ini,” katanya.
Saya amat tertarik dengan jawapan guru baru itu. Bukan kerana dia masih solo tetapi kerana ada sesuatu perkataan yang tidak tepat dalam jawapan itu iaitu memperisterikan.
Saya berpendapat bukan guru baru itu sahaja yang tidak memahami maksud perkataan memperisterikan, malah ramai yang keliru menyebabkan perkataan ini menjadi tidak tepat seperti perkataan berikut:

• Ramai kenalan yang ingin memperisterikan saya sebagai teman hidupnya tetapi saya kurang berminat.
• Cikgu Azmin juga pernah meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya .

Mengikut Kamus Dewan, memperisterikan bermaksud memberi isteri atau mengahwinkan anak. Dalam Buku Tatabahasa Dewan memperisterikan bermakna menjadikan seseorang beristeri.
Dari segi semantik (makna) frasa memperisterikan saya dalam perbualan yang saya dengar tadi bermakna menjadikannya beristeri sedangkan guru baru itu seorang perempuan. Sepatutnya guru baru berkenaan perlu menjawab “Siapalah yang sudi memperisteri saya,”
Memperisteri bermaksud menjadikan seseorang sebagai isteri. Oleh itu ayat yang tepat digunakan ialah pemuda itu telah memperisteri gadis pilihan ibu bapanya. Bagaimana pula dengan ayat Pak Sulaiman telah memperisterikan Azhar.? Tentu ramai yang akan ketawa apabila mendengar ayat tersebut. Sebenarnya ayat itu gramatis dan betul dari segi makna. Ayat itu bermaksud Pak Sulaiman sebagai ayah akan mengahwinkan anaknya Azhar. Adalah lebih elok lagi jika ayat itu berbunyi “ Pak Sulaiman akan memperisterikan Azhar dengan Safura.”



**Dimaklumkan bahawa penggunaan nama yang terdapat dalam hasil penulisan ini tidak berkaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau mati. Saya mohon maaf sekiranya penulisan ini ada menyinggung mana-mana pihak. ^_^

Wahana atau Wacana Mana Satu Betul

Bahasa Melayu itu bukan sahaja indah malah mengandungi pelbagai fungsi dalam masyarakat Melayu. Seperti pengisian pantun Melayu Yang merah itu saga, yang kurik itu kundi: yang indah itu bahasa, yang cantik itu budi. Oleh itu untuk memulihara keindahan dan kecantikan bahasa Melayu, setiap penutur perlu menitikberatkan penggunaan yang betul agar keindahannya tetap terpelihara.
Terdapat beberapa perkataan yang sering digunakan dalam perbualan atau ucapan. Antara perkataan tersebut ialah wahana dan wacana. Terdapat ramai penutur yang menggunakan perkataan ini tetapi tidak pasti mana satukah yang paling tepat. Ada pendapat yang menyatakan perkataan ini mempunyai makna yang sama dan boleh ditukar ganti. Pendapat ini adalah tidak benar kerana kedua-duanya mempunyai makna yang berbeza.
Wahana ialah saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu dicapai, disampai atau dilakukan. Berikut adalah contoh ayat yang menggunakan perkataan wahana :
• Bahasa baku merupakan bahasa yang layak dijadikan bahasa ilmu untuk wahana pemikiran dan untuk pengembangan budaya bangsa.
• Persatuan Ibu Bapa dan Guru perlu diwujudkan sebagai wahana untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah.

Wacana pula merujuk keseluruhan pertuturan yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

• Antara tugas guru bahasa Melayu di sekolah ialah mampu menganalisis wacana sastera terutama dalam menyampaikan pengajaran Komsas di bilik darjah.
• Pengajaran unsur sastera dalam bahasa Melayu bertujuan menilai keindahan wacana budaya yang dimiliki oleh masyarakat Melayu.

Oleh sebab kedua-dua perkataan tersebut berbeza maknanya, pengguna bahasa perlu berhati-hati bagi mengelakkan pengguaan ayat yang tidak gramatis.

Menghadkan atau mengehadkan

Beberapa hari lalu, seorang teman ketawa apabila beliau bertemu perkataan mengehadkan dalam satu cerita yang dibacanya. Katanya, dia ketawa sebab bunyinya janggal kerana dia biasa menggunakan perkataan menghadkan bukan mengehadkan. Bagi beliau perkataan menghadkan lebih tepat untuk digunakan.
Ada pengguna bahasa yang masih keliru dengan penggunaan perkataan yang mempunyai imbuhan menge yang digabungkan dengan perkataan yang mempunyai satu suku kata. Contoh perkataan yang mempunyai satu suku kata ialah had, khas, pos, bom, kod, cam, tut, sah dan syor.
Antara contoh kesalahan perkataan yang mempunyai satu suku kata ini ialah penggunaan perkataan had dank has. Berikut adalah kesalahan yang dapat ditemui.
• “Kami tidak berhasrat menghadkan pergerakan atau mengasingkan pelajar Cina,” katanya.
• Pelbagai pihak memberikan reaksi berbeza terhadap tindakan kerajaan menghadkan operasi agensi pekerja asing.
• Kita boleh mengkhaskan satu bahagian untuk pemain yang ketinggiannya tidak melebihi 6 kaki 3 inci
• Amaran itu terkandung dalam laporan tahunan FAO mengenai keadaan makanan dan pertanian yang mengkhaskan satu bab mengenai kesan Aids terhadap bekalan makanan.
Perkataan yang terdiri daripda satu suku kata yang ditambah imbuhan meng adalah tidak tepat. Tatabahasa Dewan menerangkan perkataan yang terdiri daripada satu suku kata perlu diberi imbuhan menge.
Awalan meng menjadi menge apabila diimbuhkan kepada kata dasar satu suku kata iaitu bagi perkataan Melayu atau perkataan pinjaman seperti cat menjadi mengecat, kod menjadi mengekod, sah menjadi mengesah dan cam menjadi mengecam.
Hal ini bermakna, perkataan berkenaan yang boleh hadir dalam bentuk terbitan secara automatic akan menerima imbuhan penge iaitu pengehadan, pengecaman, pengesahan dan pengekodan. Hal ini menunjukkan ayat yang tepat bagi contoh berkenaan ialah ayat yang menggunakan perkataan mengehadkan dan mengesyorkan.

Monday, February 8, 2010

Pencemaran Sungai

Alam sekitar merupakan kurniaan Tuhan yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya kerana kita akan mewariskannya kepada generasi yang akan datang. Justeru sewajarnyalah alam ini dipelihara dengan sebaik-baiknya darupada sebarang pencemaran. Namun, keadaan sekarang memperlihatkan bahawa manusia alpa dengan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia. Manusia lebih sibuk mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesan akibatnya kepada alam sekitar. Antara yang terjejas akibat perbuatan manusia ini ialah sungai. Justeru punca-punca yang menyebabkan pencemaran perlulah dikenalpasti dengan segera kerana kita tidak mahu menunggu sehingga sungai di negara kita sudah teruk tercemar, barulah kita hendak mengambil tindakan, seperti kata pepatah sudah terhantuk baru nak terngadah.

Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Sampah sarap dan sisa buangan domestik yang dibuang ke dalam sungai memberikan kesan yang buruk kepada sungai. Hal ini kerana, pembuangan sampah sarap ke dalam sungai akan menyebabkan sungai dipenuhi plastik-plastik sampah dan bahan-bahan terbuang yang terapung pada permukaan air. Selain itu, warna sungai akan bertukar daripada jernih kepada kehitam-hitaman. Sebagai contoh, di negara kita sendiri, jika kita lihat sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung, keadaan sungai adalah keruh dan sisa-sisa sampah boleh dilihat terampai di permukaan sungai. Kesannya, hidupan akuatik akan terjejas dan sumber air kepada manusia akan tercemar serta menyebabkab bau yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pembuangan sampah ke dalam sungai boleh menyumbang kepada pencemaran sungai.

Punca lain yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai ialah kegiatan pembalakan. Apabila pokok-pokok ditebang, tanah akan terdedah kepada hakisan ileh air hujan kerana pokok-pokok tidak lagi melindungi tanah daripada hakisan terus daripada air hujan. Tanah yang terhakis akan mengalir ke sungai dan sungai menjadi cetek kesan mendapan tanah tersebut. Selain itu, ranting-ranting pokok dan kayu-kayu yang dibuang ke dalam sungai juga akan menyebabkan sungai-sungai tersekat. Kesannya fenomena seperti banjir kilat boleh berlaku dan kualiti air untuk tujuan domestik akan menurun berikutan adanya mendapan yang banyak di dalam sungai. Oleh itu, kegiatan pembalakan dapat memberikan kesan buruk kepada sungai.

Kesimpulannya, punca-punca yang menyebabkan pencemaran sungai ini perlulah diteliti dengan lebih mendalam supaya usaha-usaha menangani masalah pencemaran ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Pihak kerajaan seharusnya menjalankan langkah yang lebih proaktif dengan mengadakan lebih banyak kempen kesedaran serta mengadakan pemantauan yang lebih kerap terhadap tahap kualiti air sungai di negara kita. Diharapkan, pencemaran sungai dapat diatasi dengan segera agar generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang kita wariskan kepada mereka tanpa sebarang masalah

Tuesday, February 2, 2010

Tahniah..SMVDSMZ

Tahniah diucapkan kepada semua warga kerja laman web SMVDSMZ kerana kejayaan melancarkan Laman Web yang baru di www.smvdsmz.com . Selamat datang kepada guru-guru yang baru melaporkan diri ke sekolah ini dan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru tingkatan 4 aliran vokasional dan SKM.

Daripada Pn. Moinah
Guru Cemerlang Bahasa Melayu.