Wednesday, November 18, 2009

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum


Berilah aku seratus orang tua,aku hanya mampu menggoncangkan perahu yang tertangkup. Jika aku diberi sepuluh orang pemuda,aku mampu menggoncangkan dunia". Memetik kata-kata Soekarno,mantan Presiden Indonesia,jelaslah bahawa pemuda-pemudi khususnya mereka yang masih berada di bangku sekolah merupakan harapan bangsa dan negara pada masa hadapan.Justeru,menyedari akan hakikat sistem pendidikan hari ini tidak hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pencapaian dalam bidang kokurikulum, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh negara. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada negara. Kegiatan kokurikulum sememangnya mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar.
Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan dan mencergaskan tubuh badan pelajar. Dalam hal ini,para pelajar berkemungkinan bebas daripada masalah obesiti yang dialami oleh sesetengah remaja.Sebagai bukti,perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan di Amerika Syarikat,membuktikan bahawa 60 peratus kanak-kanak di negara itu menghadapi masalah perut yang gendut kerana kurang senaman.Bagaimana kegiatan kokurikulum dapat memberikan kecergasan? Hal ini kerana melalui kegiatan kokurikulum yang dijalankan,pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal. Sebagai contoh,aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki gunung boleh meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar.Dalam masa yang sama juga,peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya akan dibuang.Di samping itu,daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit juga meningkat.Oleh itu,berbekalkan tubuh badan yang sihat,mereka akan dapat menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran,bak kata pepatah "otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas".Oleh itu,jelas bahawa kegiatan kokurikulum mampu menjamin kesihatan serta mencerdaskan otak pelajar sekali gus membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Seterusnya,kegiatan kokurikulum telah dijadikan salah satu syarat untuk melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi.Hal ini kerana KPM telah mengambil langkah drastik dengan menetapkan sepuluh peratus daripada syarat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi melalui penglibatan dan pencapaian yang baik dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Menurut Dato' Hishamuddin Tun Hussin,Menteri Pelajaran Malaysia dalam Berita Harian 21 Jun 2006,keputusan tersebut bertujuan untuk melahirkan graduan yang serba boleh dalam pelbagai bidang.Berdasarkan keputusan itu,para pelajar diwajibkan menyertai pelbagai badan kokurikulum yang terdapat di sekolah.Dalam hal ini juga,segelintir pelajar yang aktif akan diberi jaminan dan kemudahan untuk memohon dan mendapatkan sesuatu pekerjaan.Oleh itu, para pelajar tidak lagi boleh memandang remeh terhadap aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah kerana berkemungkinan akan menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran sekali gus mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pelajaran.
Selain itu,pelajar dapat memenuhi masa senggang dengan berfaedah melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum.Hal ini kerana dengan menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum.Dalam masa yang sama juga,pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang dan sentiasa berpegang kepada kata-kata bahawa masa itu emas.Sebagai contoh,sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan alam.Mereka akan ditanamkan dengan perasaan cinta akan alam sekitar,di samping mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing dengan peserta perkhemahan yang lain.Dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berfaedah remaja akan kurang berhadapan dengan eisiko dipengaruhi oleh gejala yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat timue seperti budaya 'punk',hedonisme,vandalisme dan lain-lain lagi.Pada masa yang sama,pelajar tidak akan mudah kehilangan arah atau petunjuk hidup sekiranya masa yang terluang diuruskan secara efektif dan efisien.Justeru,remaja akan lebih bersikap positif dan cenderung untuk melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan pelbagai faedah kepada diri,keluarga dan masyarakat sekeliling.
Seterusnya,kegiatan kokurikulum yang dijalankan dapat menjalin hubungan silaturahim serta menyemai nilai-nilai murni dalam diri para pelajar,Hal ini kerana melalui sesuatu aktiviti,mereka akan berganding bahu melaksanakan tugasan yang diberikan.Mereka akan bergaul mesra dan mengenali pelajar-prlajar lain yang terdiri daripada pelbagai etnik.Para pelajar juga berpeluang memahami adat resam dan kepercayaan kaum-kaum lain.Dengan ini perpaduan dapat diwujudkan dan impian Malaysia untuk mempunyai masyarakat majmuk yang harmoni tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin.Di samping itu,aktiviti kokurikulum juga merupakan satu wahana untuk menyemai nilai-nilai murni dalam sanubari pelajar supaya menjadi insan yang kamil dan soleh.Melalui aktiviti berpasukan,nilai-nilai murni seperti bekerjasama hormat-menghormati,kesopanan dan sebagainya dapat diterapkan dan disebatikan dalam diri para pelajar. Dalam masa yang sama,mereka juga diterbiah untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.Secara tidak langsung,mereka juga turut melalui proses pembentukan peribadi yang sempurna seperti peribahasa Melayu,sambil menyelam minum air.
Selain itu,mungkin tidak pernah terlintas dalam kotak fikiran para pelajar bahawa penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mengharumkan nama sekolah dan negara.Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum merupakan titik permulaan untuk para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka.Sebagai contoh,atlit-atlit negara seperti Nicol David,Shalin Zulkifli dan Lim Keng Liat dicungkil dan digilap melaui aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah.Bermula dengan bakat yang semakin terserlah kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang berpengalaman.Oleh itu,untuk membolehkan negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sukan,maka lebih banyak bakat harus dicungkil bagi mengharumkan nama Malaysia.Hari ini,kita tidak harus terus bergantung kepada atlet veteran sahaja yang semakin menuju ke kemuncak kerjaya mereka.Sebailiknya sebagai persediaan banyak usaha harus dilakukan supaya bakat-bakat pelajar yang berpotensi dapat dicungkil dan dikembangkan. Konklusinya,tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa aktiviti kokurikulum tidak membawa kebaikan dan membuang masa sahaja haruslah dikikis,Demi mencapai visi kudsi Wawasan 2020 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)2006-2010,Malaysia memerlukan generasi penggerak wawasan yang berkaliber,berwibawa dan berintelek selari dengan modal insan yang memiliki minda kelas pertama.Amalan peribahasa sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna haruslah dihayati dan direnungi bersama kerana peribahasa ini mempunyai konotasinya yang tersendiri.Justeru,sama-samalah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga menjayakan visi ini.

Sunday, November 15, 2009